Popular

Monday, 5 August 2013

Elok Memilih Juadah Aidilfitri

Puasa adalah satu ibadah yang menyihatkan dan membantu menurunkan paras kolesterol dan berat badan. Amat malang jika sepanjang Syawal nanti kita makan berlebihan dan tidak terkawal kerana menghadiri rumah terbuka dan majlis sambutan hari raya.

Sebagaimana firman Allah, dalam surah Al-A’Raf, ayat 31: “Makanlah dan minumlah, janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang (makan dan minum) secara berlebihan-lebihan.”
Segala faedah kesihatan yang diperoleh ketika berpuasa akan hilang dan sia-sia. Oleh itu amat penting kita makan secara sihat sepanjang kita menyambut Aidilfitri nanti. Pemakanan sihat amat penting dan pemilihan karbohidrat sihat adalah cara yang baik untuk kita makan secara sihat.


Masyarakat Islam di Malaysia cenderung makan karbohidrat yang kurang sihat ketika hari raya kerana kebanyakan kuih raya seperti kuih samprit, kuih jintan, kuih tat dan sebagainya adalah karbohidrat kurang sihat dan mengandungi gula serta lemak trans yang tinggi.


Kuih atau biskut raya ini kebanyakannya dibuat daripada tepung gandum halus putih yang mempunyai indeks glisemik tinggi. Makanan seperti ketupat dan lemang juga berkarbohidrat yang tinggi, oleh itu kita patut mengawal jumlah pengambilannya agar tidak keterlaluan.


Karbohidrat adalah gizi makanan utama dalam pemakanan seharian kita. Tanpa kita sedari kita mengambil terlalu banyak karbohidrat yang tidak mengikut kadar dengan nisbah penggunaan tenaga seharian menjadi punca pelbagai penyakit hari ini.

Karbohidrat yang berglisemik indeks tinggi tidak sihat jika diambil berlebihan. Bagaimana untuk memahami sama ada karbohidrat itu sihat atau kurang sihat? Caranya adalah dengan memahami mengenai konsep indeks glisemik.


Apakah indeks glisemik?

Indeks glisemik adalah satu sistem klasifikasi karbohidrat menurut kesannya kepada paras gula dalam darah. Pengawalan paras gula dalam darah adalah satu strategi dalam pencegahan dan pengawalan pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, kolesterol berlebihan, darah tinggi dan sebagainya.

Sejak lebih 20 tahun dulu, pengkaji di University of Toronto mengkaji lebih daripada 50 jenis makanan berkarbohidrat dan kesannya kepada paras gula dalam darah.

Indeks glisemik dikira dengan mengukur paras gula dalam darah seseorang selepas dua ke tiga jam makan makanan berkarbohidrat dengan dibandingkan kepada ‘makanan rujukan’ iaitu glukosa tulen.

Indeks glisemik diberikan suatu penomboran daripada minimum kosong sehingga maksimum 100. Makanan dihadamkan dengan cepat dan meningkatkan paras gula dengan cepat mempunyai nilai indeks glisemik yang tinggi iaitu lebih daripada 70. Makanan dihadamkan lebih perlahan dan menaikkan paras glukosa dalam darah dengan lebih perlahan mempunyai nilai indeks glisemik rendah iaitu kurang daripada 55.

Makanan dikategorikan sebagai indeks glisemik sederhana mempunyai nilai indeks glisemik di antara 56 ke 69. Makanan berkarbohidrat yang mempunyai nilai indeks glisemik rendah dan sederhana adalah lebih sihat dan perlu dimakan dengan lebih banyak.

Makanan yang tinggi gula seperti kek, coklat, biskut dan kuih-muih mempunyai indeks glisemik yang tinggi dan ia akan memuncakkan paras gula dengan cepat.

Ia adalah lebih buruk kesannya kepada pesakit kencing manis. Kerana itulah pesakit kencing manis perlu mengawal pengambilan gula dan karbohidrat daripada jenis yang mempunyai indeks glisemik tinggi.

Oleh itu mereka digalakkan mengambil makanan berserat tinggi seperti oat, beras perang, roti berserat penuh dan sebagainya. Makanan karbohidrat kompleks seperti lemang, ketupat, nasi, roti putih, kentang dan pasta juga mempunyai indeks glisemik yang tinggi.

Jika kita terlalu banyak makan makanan mempunyai indeks glisemik yang tinggi, ia adalah berbahaya kepada kesihatan untuk jangka masa panjang kerana kesan kenaikan mendadak paras gula akan menyebabkan peningkatan paras insulin yang memuncak dalam masa singkat.

Ini akan menyebabkan penghasilan kolesterol berlebihan dan berlaku pengumpulan lemak dalam abdomen yang menyebabkan masalah perut buncit. Perut buncit dan saiz pinggang adalah faktor risiko kepada penyakit jantung. Keadaan ini akan menyebabkan sindrom rintangan insulin dan akhirnya melarat menjadi penyakit kencing manis atau Diabetis Mellitus.

Untuk mengetahui nilai indeks glisemik sesuatu makanan kita boleh merujuk di Internet atau boleh dapatkan buku saya ‘8 Rahsia Menguruskan Badan Tanpa Berdiet’ yang menyenaraikan nilai indeks glisemik makanan yang biasa kita makan.


Jamu buah di hari raya

Pada hari raya ini ambillah karbohidrat sihat yang tinggi dengan serat seperti buah-buahan. Untuk makan secara sihat, kita seharusnya mulakan perubahan dengan menghidangkan lebih banyak buah-buahan pada Aidilfitri nanti.

Kurangkan hidangan kuih atau biskut raya yang mengandungi karbohidrat yang tidak sihat dan gula tinggi. Saya mencadangkan kita mencuba membuat ketupat dengan menggunakan beras perang sebagai satu cara menghidangkan karbohidrat sihat. Di samping itu menggunakan oat atau gandum berserat penuh dalam kuih raya adalah satu alternatif untuk makan karbohidrat sihat. Kurangkan gula dalam kuih-muih amat digalakkan.

Penggunaan marjerin dalam kuih-muih ini juga adalah tidak sihat kerana mengandungi lemak trans yang boleh menyebabkan masalah kolesterol tinggi. Untuk pengambilan karbohidrat sihat, kita perlu makan lebih banyak makanan berserat tinggi, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Kerana itulah doktor menasihatkan pesakit yang mempunyai masalah kolesterol agar makan oat yang berglisemik indeks rendah. Kajian mendapati pemakanan berglisemik indeks rendah akan menurunkan paras kolesterol kerana enzim ‘HMG CoA Reductase’ akan menjadi kurang aktif menghasilkan kolesterol.

Secara umumnya jika makanan itu mempunyai indeks glisemik tinggi ia perlu dimakan sedikit dan makanan berglisemik indeks sederhana dan rendah boleh diambil lebih dalam satu hidangan.

Buah-buahan walaupun manis rasanya, mempunyai indeks glisemik yang lebih rendah. Ini adalah kerana serat atau fiber ada padanya menurunkan nilai indeks glisemiknya.


Penulis Pengamal Perubatan Am, Pengkhususan Aestetik, Antipenuaan dan Perubatan Regenaratif. E-mel: drnormanmlk@yahoo.com.my

incoming terms :

  • menu juadah dihari raya
  • resepi masakan dihari raya
  • jenis-jenis kuih raya
  • masakan kampung dihari raya